Wednesday, 18 April 2018

SINOPSIS SEJARAH MELAYU "SULALATUS SALATIN"



PERISTIWA DALAM BAB 8


Raja Cempa menjumpai seorang budak di dalam mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang. Setelah raja Cempa mangkat, Pau Gelang dilantik sebagai raja Cempa. Cucu Pau Gelang berkahwin dengan puteri Majapahit, Raden Galuh Ajeng dan beranak raja-raja Cempa sehinggalah Pau Kubah.Pau Kubah tewas berperang dengan raja Kuci. Syah Indera Berma, iaitu anak raja Cempa lari ke Melaka.

Sultan Zainal Abidin dari Pasai melarikan diri ke Melaka selepas adindanya merampas takhta. Orang-orang Melaka membantu Sultan Zainal Abidin sehingga Sultan Zainal Abidin berjaya menaiki takhta semula.

Sultan Zainal Abidin enggan menyembah Sultan Mansur Syah dan Bendahara Paduka Raja, pulang ke Melaka dengan rasa kecewa.

 Laksamana mengajak Bendahara merajakan semula Sultan Zainal Abidin tetapi Bendahara enggan.  Sultan Mansur Syah murkakan Bendahara manakala, Laksamana pula memburuk-burukkan Bendahara ketika di Pasai. Bendahara memuji-muji Laksamana ketika di Pasai dan  apabila Laksamana mengetahui pujian Bendahara itu, Laksamana serba salah dan pergi berjumpa Bendahara untuk meminta maaf.

Raden Kelang dibunuh oleh orang mengamuk di Melaka.

Sultan Mansur Syah gering dan memberi wasiat kepada anakanda baginda sebelum mangkat.  Sultan Mansur Syah mangkat dan digantikan oleh Raja Hussain dengan gelaran Sultan Alau'd Din Riayat Syah.

Melaka diancam pencuri sehingga Sultan Alau'd-Din Riayat Syah bertindak menyamar diri untuk membanteras pencuri-pencuri.

Temenggung Seri Maharaja bertindak keras dengan mengetatkan undang-undang setelah beliau disindir oleh Sultan Alau'd-Din Riayat Syah.  Sultan Alau'd-Din Riayat Syah membuat undang-undang mencuri dikudungkan tangan manakala, di simpang empat di tengah negeri dibuat sebuah balai untuk diletakkan harta kecurian yang dijumpai.

Raja Pahlawan dari Haru mengamuk di Pasai setelah surat yang bertulis 'salam' disebut 'sembah'. Ramai orang Pasai mati.

Sultan Alau'd-Din Riayat Syah menyuruh pahlawan Melaka menghalang orang-orang Haru. Pertempuran berlaku antara orang-orang Melaka dengan orang-orang Haru. Berlaku perdamaian antara Melaka dengan Haru.

 Raja Maluku dan Telanai Terengganu datang ke Melaka.

Selepas Telanai Terengganu pulang, Sultan Muhammad, iaitu Raja Pahang menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai Terengganu kerana pergi ke Melaka tanpa memberitahu baginda.

Sultan Alau'd-Din Riayat Syah mendapat tahu perkara itu dan menitahkan pahlawan-pahlawannya menyerang Pahang kerana Sultan Muhammad membunuh Telanai Terengganu tanpa pengetahuan Melaka dan Raja Muhammad juga ingin menyerang Melaka. Bendahara tidak membenarkan keinginan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah untuk menyerang Pahang.

Laksamana telah dititahkan ke Pahang untuk menyelesaikan masalah itu. Laksamana Hang Tuah ke Pahang dan menyuruh orangnya membunuh salah seorang keluarga Seri Akar Raja.

 Apabila ditanya tentang pembunuhan ke atas Telanai Terengganu, Sultan Muhammad berdalih dengan mengatakan Telanai Terengganu berlaku biadap.

No comments:

Post a Comment

ADAT ISTIADAT

Adat mengadap raja di balairung, Para pembesar akan disusun mengikut pangkat  kebesaran masing-masing. Bendahara, Penghulu Benda...