MITOS, sebagaimana yang
diketahui umum, adalah suatu unsur dongeng atau kejadian luar biasa yang
tidak dapat diterima logik akal tetapi diketengahkan sebagai suatu
peristiwa yang benar-benar terjadi. Peristiwa yang berlaku itu sama ada yang
berlegar di sekitar kehidupan manusia, haiwan, ataupun alam semesta - kelihatan
pelik, janggal, dan melampaui lumrah alam. Walau bagaimanapun, penilaian
terhadap ketakwajaran unsur mitos itu adalah mengikut acuan zaman moden
sedangkan pemilik unsur tersebut, yakni masyarakat silam, meyakini bahawa mitos
tersebut memang benar-benar berlaku.
Dalam konteks Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, unsur mitos merupakan sebahagian daripada ciri
yang signifikan, terutama pada bahagian awal teks tersebut. Kewujudan unsur
mitos dalamteks tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan
masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam lingkungan
pengaruh Hindu dan animisme yang kuat.
CIRI-CIRI MITOS
1. Mitos dianggap
sebagai kejadian atau peristiwa yang benar-benar berlaku - cerita
mitos dianggap benar-benar berlaku pada zaman silam. Keyakinan tersebut,
sesetengahnya, telahmembentuk sistem nilai mereka dan seterusnya diwarisi
dari satu generasi ke satu generasi. Mitos berbeza daripada unsurunsur
dongeng.
2. Mitos dianggap suci -
kesucian ini terbit kerana mitos kaya dengan unsur-unsur kedewaan yang
diyakini oleh masyarakat Melayu pada zaman silam. Kepercayaan tersebut
terbentuksebagai hasil daripada pengaruh animisme dan ajaran agama Hindu.
3. Mitos kaya dengan
unsur-unsur alam ghaib - keyakinan masyarakat Melayu zaman silam
terhadap kewujudan alam ghaib sangat tebal. Mereka percaya bahawa sesuatu
yangghaib itu, seperti kewujudan kuasa makhluk-makhluk halus (jin, syaitan,
penunggu, puaka) dan alam kayangan atau alam dewa dewi dapat mempengaruhi
kehidupan mereka. Malah,dalam konteks alam kayangan, masyarakat Melayu
pada zaman itu yakin bahawa mereka dapat Baling berhubungan (bersahabat
atau berseteru) antara satu sama lain.
4. Mitos kaya dengan
peristiwa atau kejadian yang luar biasa, ganjil, dan aneh -
masyarakat Melayu zaman silam mempercayai bahawa setiap kejadian luar
biasa, ganjil, atau aneh mempunyai tujuan-tujuan atau alamat-alamat
yang tertentu. Hal ini berlaku sebagai hasil daripada
keakraban hubungan masyarakat Melayu dengan flora dan fauna
di sekeliling mereka.
JENIS-JENIS MITOS
Mitos dalam Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu dapat dibahagikan kepada empat jenis,
iaitu:
1 mitos asal usul raja;
2 mitos pembukaan negeri;
3 mitos
kedatangan Islam; dan
4 mitos-mitos lain.
Mitos Asal Usul Raja
Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu, dalam upaya
hendak meningkatkan martabat dan kedudukan raja-raja
Melayu, khususnya raja Melaka, telah mengaitkan bahawa
raja-raja tersebut berasal usul daripada keturunan Raja Iskandar ZulKarnain,
Nabi Sulaiman, clan Nusyirwan Adil. Pertalian ini bermula apabila Raja
Suran (cucu Raja Sulan) telah masuk ke dasar laut dan berkahwin dengan
Puteri Mahtabu'l-Bahri dari negeri Dika. Perkahwinan tersebut telah
menghasilkan tiga orang putera - Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila
Utama. Ketiga-tiga putera ini telah naik ke bumi dan mendarat di Bukit Si
Guntang, Palembang.Keistimewaan dan keluarbiasaan yang dimiliki mereka
telah membolehkan mereka menjadi raja - Nila Pahlawan menjadi raja di
Minangkabau; Krisyna Pandita menjadi raja di Tanjung Pura; Nila Utama pula
menjadi raja di Palembang dan seterusnya di Temasek dengan gelaran Seri
Teri Buana. Seri Teri Buanalah yang kemudiannya mengembangkan keturunan
raja-raja Melaka.
Mitos Pembukaan Negeri
Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu banyak juga
mengetengahkan mitos yang berkaitan dengan pembukaan sesebuah negeri.
Dalam hal memilih dan memberikan nama negeri ini, penamaan tersebut dibuat
berdasar kepada keyakinan para raja terhadap sesuatu keganjilan dan kejadian
luar biasa yang pada pandangan mereka akan mendatangkan keberuntungan
kepada negeri tersebut. Antaranya termasuklah:
1 pembukaan negeri
Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang
bernama “Singa”
2 pembukaan negeri
Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah
mengalahkan anjing;
3 pembukaan Semundra
yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut
besar seperti kucing; dan
4 pembukaan Pasai yang
dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku's-Salleh yang bernama si
Pasai menyalak di suatu kawasan tanah tinggi.
Mitos Kedatangan Islam
Sebagaimana mitos asal
usul, tujuan mitos kedatangan Islam ini diselitkan dalam Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu adalah untuk mengangkat darjat raja-raja
Melayu. Ada dua peristiwa yang memerihalkan mitos kedatangan Islam ini, iaitu:
1 kedatangan Islam di
Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu
dengan Nabi Muhammad s. a. w. Dalam mimpi itu, Nabi Muhammad s. a.
w. telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan sebagai hasilnya,
Merah Silu dapat mengaji pada keesokan harinya manakala tubuhnya pula berbau
narawastu; dan
2 kedatangan Islam di
Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar (Sultan Muhammad Syah)
telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. melalui mimpi. Dalam mimpi
itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah
syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang
dimimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau
narawastu.
Mitos-mitos Lain
Dalam teks Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsur mitos
yang ditulis untuk tujuan yang khusus. Antaranya termasuklah untuk
menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik
raja secara halus. Yang berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut.
I Peristiwa Badang
menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah beroleh kekuatan
dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu
yangmencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu telah
membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya sekali
dan hal ini menggembirakanmajikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan
dalam masa yang singkat.
2 Peristiwa ikan todak
menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah
oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam
olehikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan
tersebut, Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan
betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan
kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu
dapat diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yangmenyarankan penggunaan
batang pisang sebagai kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya
dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib yang "mahir akan ilmu khayal
lillah lagi tamam dua belas".
3 Peristiwa
Sang Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana
dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya
selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat
memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia
telah bersekongkol denganMajapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke
tangan kuasa besar itu.
KEPENTINGAN MITOS
Penerapan mitos dalam
teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini mempunyai matlamat
dan kepentingannya yang tersendiri dan khusus, sesuai dengan zaman teks
ini dihasilkan. Di pihak pemerintah, peristiwa yang berunsur mitos itu
secara umumnya dapat meningkatkan darjat dan kedaulatan mereka. Di
pihak hamba rakyat pula, unsur mitos tersebut dapat mendidik serta
meyakinkan mereka tentang kehebatan dan kedaulatan raja serta perkara-perkara
yang berkaitan dengan institusi beraja. Kepentingan mitos dalam penulisan
teksSulalatus Salatin Sejarah Melayu ini dapat dijelaskan seperti
yang berikut:
Menunjukkan
Keagungan Keturunan Raja
Iskandar Zulkarnain
berbangsa Rom dan berasal dari Makaduniah. Sebagaimana yang tercatat
dalam sejarah, beliau merupakan seorang raja yang agung dan penakluk dunia yang
terbilang. Berdasarkan Sulalatus Salatin Sejarah Melayu,
raja-raja Melayu dikatakan berasal daripada keturunan beliau
walaupun menurut Sejarah, Iskandar Zul-Karnain (Alexander The
Great)tidak pernah menakluki India. Oleh itu, mitos yang
mengaitkan raja-raja Melayu bersusur galur daripada keturunan Iskandar
Zul-Karnain itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri, iaitu
untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu ke tahap yang tinggi,
yaknimemiliki ciri-ciri kepahlawanan, kehebatan, dan keagungan,
sama seperti yang dimiliki oleh datuk nenek mereka yang
bernama Iskandar Zul-Karnain itu.
Menunjukkan Sifat Luar
Biasa Raja
Salah satu mitos yang
terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah
tentang pengembaraan Raja Suran ke dasar laut. Baginda dikatakan telah
tiba di sebuah negeri yang bernama Dika dan seterusnya berkahwin dan hidup
di negeri itu. Hal ini memang di luar mats fikir manusia dan melampaui
hukum alam, namun penerapan mitos yang sedemikian ada kepentingannya.
Penerapan unsur tersebut adalah untuk menggambarkan bahawa
raja-raja Melayu sangat luar biasa dan berbeza daripada manusia biasa
dan oleh itu, merekalah yang layak memimpin manusia lain.
Menyindir atau
Mengkritik Raja
Mitos lain yang
terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ialah serangan
ikan todak terhadap Singapura. Penerapan mitos ini bertujuan untuk
menyindir atau mengkritik golongan raja atau pembesar yang menzalimi rakyat.
Mitos itu juga bertujuan untukmenyedarkan raja dan pemerintah bahawa setiap
hamba rakyat, tidak kira sekecil mana pun mereka itu, perlu dihormati
dan disayangi kerana mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Jelas
dalam hal ini, budak yang menyarankan rakyat Singapura menggunakan batang
pisang sebagai kubu untuk meredakan serangan todak, mempunyai kelebihannya
walaupun masih kecil.
Mendidik dan Menakutkan
Rakyat
Sesetengah mitos dalam
teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini sengaja
diterapkan bagi mendidik rakyat supaya senantiasa menghormati dan mentaati
raja sebagaimana yang dipersetujui dalam waad antara Demang Lebar Daun
dengan Seri Teri Buanadahulu. Dalam hal ini, mitos yang memaparkan Sang Rajuna
Tapa menjadi batu setelah mengkhianati Sultan Iskandar
Syah menunjukkan bahawa sumpahan Seri Teri Buana yang mengatakan
bahawa rakyat yang derhaka akan "dibalikkan Allahbumbungan rumahnya ke
bawah kaki ke atas" menjadi kenyataan. Peristiwa itu juga dapat
menimbulkan rasa gerun di hati rakyat supaya tidak mengkhianati waad
tersebut.
Mempelbagaikan
Kaedah/Teknik Penulisan
Penerapan unsur mitos
dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu juga bertujuan
untuk mewujudkan variasi dalam stail penulisannya. Penerapan itu juga
memperlihatkan kekreatifan pengarang dalam usaha hendak menarik hati para
pembaca.
tambahan
Penulisan Karya Agung Melayu mula
ditulis selepas abad ke-15. Antara karya agung Melayu yang terkenal adalah
Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya.
Namun, bagi entri kali ini kami telah memilih Sulalatus Salatin untuk mengkaji
mitos dan lagenda yang terkandung di dalam karya agung ini. Eloklah kiranya
sebelum kita berbincang dengan lebih mendalam, marilah kita fahami apakah yang
dimaksudkan dengan mitos dan lagenda.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2006), mitos membawa maksud cerita zaman dahulu yang dianggap benar,
terutamanya yang mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang
sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam. Menurut
Noriah Taslim (1986), mitos dikatakan sebagai tradisi agama Hindu, raja-raja
itu ialah dewa raja (God-King) iaitu raja adalah bayangan Tuhan. Konsep ini
telah menyebabkan masyarakat membenarkan dan mempercayai hakikat kehebatan
raja. Kesimpulannya, mitos bermaksud kepercayaan atau keyakinan yang diterima
bulat-bulat tanpa bukti.
Legenda pula didefinisikan sebagai
cerita yang bersangkutan dengan kisah-kisah yang bersejarah di dalam Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010). Legenda adalah satu genre dalam kelompok
cerita-cerita rakyat.
Harun Mat Piah (2003), mengemukakan
takrifan lebih terperinci terhadap pengertian legenda. Selain memberi definisi
khusus, beliau turut membuat perbandingan yang jelas antara legenda dengan
mitos. Legenda ialah cerita yang serius, dipercayai sebagai benar dan juga
mengandungi ciri-ciri luar biasa, Legenda membicarakan tokoh-tokoh suci, juga
tokoh-tokoh sekular, makhluk ghaib atau manusia biasa, boleh berlaku pada masa
lalu tetapi tidak terlalu silam seperti mitos, atau masa kini, malah berterusan
ke masa depan. Secara kesimpulannya, legenda dapat didefinisikan sebagai cerita
prosa rakyat yang ditokohi oleh manusia yang ada kalanya mempunyai sifat-sifat
luar biasa yang dibantu oleh kuasa atau makhluk lain.
Ciri-ciri Mitos
Mitos mempunyai perbezaan dengan
legenda. Terdapat beberapa ciri yang
dapat dikenal pasti yang menunjukkan cerita tersebut adalah bersifat
mitos. Antaranya ialah, cerita mitos
dianggap sebagai cerita rekaan tetapi masyarakat tradisional mempercayai yang
cerita mitos itu benar-benar berlaku. Cerita mitos dari segi isi dan tema,
adalah dihubungkan dengan asal usul bermulanya sesuatu kejadian, benda,
binatang, manusia, asal usul nama tempat, asal usul keturunan raja dan
lain-lain lagi. Setiap asal usul itu dikaitkan dengan pelbagai peristiwa dengan
keadaan yang luar biasa tetapi dipercayai benar-benar berlaku.
Cerita mitos juga dikatakan sebagai sebuah
naratif tradisional atau cerita lama yang diperturunkan sejak zaman
dahulu. Contohnya cerita dongeng, cerita
binatang, lawak jenaka dan lain-lain.
Struktur cerita mitos kebiasaannya berkaitan dengan pegangan dan
kebudayaan. Menurut Hashim Awang (1985),
ciri-ciri cerita mitos ialah cerita yang mengisahkan tentang manusia atau
makhluk atau peristiwa luar biasa yang tidak rasional atau tidak dapat diterima
oleh akal manusia.
Bagi masyarakat Melayu tradisional,
cerita mitos adalah suci dan mulia serta berlawanan kepada sifat duniawi. Cerita mitos adalah cerita tentang dewa-dewi
dari kayangan dan dipercayai ada kaitan dengan unsur keagamaan, bersifat suci
dan kudus. Banyak pantang larang dikenakan dalam hal mematuhi cerita mitos. Masyarakat percaya bahawa mitos ini benar-benar berlaku dan menjadikannya
sebagai sistem kepercayaan yang tidak boleh dipersenda-sendakan. Tambahan lagi, mereka menganggap masyarakat
yang tidak mempercayai dan melanggar pantang larang akan menerima balasan dan mala
petaka. Namun begitu, sesiapa yang percaya dengan mitos dan mematuhi pantang
larang tersebut akan mendapat kebaikan dan kurniaan.
Latar masa bagi cerita mitos adalah
pada zaman pra-sejarah iaitu zaman “animisme”. Semua masyarakat Melayu lama
percaya pada kepercayaan animisme. Hal
ini demikian kerana, masyarakat pada zaman dahulu masih terpengaruh dengan
agama Hindu walaupun sudah ada sebahagian masyarakat yang memeluk Islam dan
agama Islam sudah tersebar.
Latar tempat cerita mitos
merangkumi segenap penjuru alam sama ada di dunia luar, di dunia kayangan atau
di dasar. Latar tempat sejarah juga
terdapat dalam cerita mitos. Misalnya, mitos asal usul negeri Melaka
sebagaimana yang digambarkan dalam Sejarah Melayu mengambil latar tempat
sejarah. Latar tempat di dasar laut pula
melalui mitos dinasti seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu iaitu
seorang daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain iaitu Raja Suran yang
memasuki dan melawat negeri bawah laut bernama Dika. Beliau berkahwin dan
mendapat tiga orang anak di negeri bawah laut itu. Anak-anak bagindalah
kemudiannya menjadi raja Palembang, Singapura dan akhirnya menjadi raja negeri
Melaka.
Selain itu, mitos juga dapat
dikenal pasti mengenai mitos tentang makhluk dengan tuhan atau nabi. Sebagai contoh, dalam teks Sulalatus Salatin
atau Sejarah Melayu yang menceritakan tentang Merah Silu yang bermimpikan
Rasulullah. Di dalam mimpi tersebut
Rasulullah menyuruh Merah Silu mengangakan mulutnya lalu Baginda meludah ke
dalamnya. Apabila Merah Silu terjaga
dari tidur, dia mendapati bahawa dia telah pandai membaca al-Quran. Selain itu, dapat dilihat kisah perkahwinan
anak Raja Kida Hindi, iaitu Puteri Syahrul Bariyah dengan Raja Iskandar yang
berwalikan Nabi Khidir. Sebelum Puteri
Syahrul Bariyah dikahwinkan dengan Raja Iskandar, Raja Kida Hindi menyuruh
Perdana Menteri bertanyakan Nabi Khidir tentang gerangan yang akan dijodohkan
dengan puterinya.
Tambahan lagi, mitos yang
mengaitkan dengan nabi dapat dilihat berdasarkan kisah kedatangan Islam di
Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar, iaitu Sultan Muhammad
Syah yang telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi. Dalam mimpi
itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah
syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang diimpikan
oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu.
Watak- watak dalam cerita mitos
pula terdiri daripada Tuhan dan dewa-dewi sebagai watak-watak bukan manusia.
Dalam cerita mitos juga terdapat watak manusia dan binatang. Beberapa contoh
dapat dilihat di dalam teks Sejarah Melayu. Umpamanya nama samudera-pasai
berasal daripada semut besar. Nama ini diperoleh daripada peristiwa seekor
anjing bernama Si Pasai yang menyalak bukit kerana nampak semut sebesar kucing.
Selain itu, pembukaan nageri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor
pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing.
Sempena dengan peristiwa yang luar biasa ini maka Sultan Malikul Salleh
membuka sebuah negeri baru yang dinamakannya Samudera-Pasai. Melalui mitos nama tempat ini, watak-watak
yang terlibat melibatkan watak manusia dan bukan manusia iaitu watak Malikul
Salleh, anjing dan semut besar.
Ciri-ciri lagenda
Isi dan tema cerita lagenda
berkaitan dengan tokoh-tokoh terkenal yang dipercayai pernah hidup suatu ketika
dahulu, dikaitkan dengan sifat kepahlawanan yang tiada tolok bandingnya,
menjadi kebanggaan masyarakat setempat yang dianggap mempunyai keistimewaan dan
bersifat kudusLegenda ialah cerita yang mengisahkan kebesaran dan keistimewaan
seseorang tokoh yang diyakini kewujudannya oleh masyarakat. Cerita tersebut
sering kali dibuat secara berlebih-lebihan dan melampaui kelaziman yang biasa
dimiliki oleh seseorang manusia. Cerita-cerita tentang tokoh lagenda ini juga
bercampur aduk antara unsur sejarah dengan unsur fantasi. Tokoh-tokoh lagenda
itu biasanya menjadi kemegahan dan kebanggaan sesuatu bangsa. Tokoh-tokoh
lagenda biasanya mempunyai ciri seperti memiliki rupa paras yang kacak dan
tampan, berperibadi mulia, dan bijaksana. Ketampanan, kemuliaan dan
kebijaksanaan mereka dikagumi dan disenangi setiap orang.
Selain itu, ciri-ciri lagenda ialah
watak dan perwatakan terdiri daripada golongan yang disegani, watak ini
biasanya memiliki ilmu kepahlawanan, cekap bermain senjata, gagah dan perkasa
serta berani. Kehebatan mereka selalunya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana
pahlawan sekalipun. Mereka memiliki ilmu kesaktian ataupun ilmu hikmat yang
membantu mereka dalam apa-apa jua keadaan semasa berjuang. Mereka, taat dan
setia kepada keluarga dan raja. Ketaatan dan kesetiaan mereka begitu luhur clan
suci, mereka memiliki keistimewaan tertentu yang tiada pada manusia biasa.
Berdasarkan pada hakikat tersebut, dapat
ditemukan perbezaan yang ketara antara legenda dengan mitos.Legenda lebih
berpijak di bumi nyata, yakni tokoh yang dipusatkan 'lazimnya memang pernah
hidup (diyakini kewujudannya) dan tokoh itu banyak jasanya. Mereka disenangi
dan menjadi sebut-sebutan (idola) masyarakat dan lantaran itu, perwatakan
mereka telah ditokok tambah oleh masyarakat, malah sikap, pemikiran, dan
tindakan mereka, dijadikan ikut-ikutan oleh kelompok tertentu.
Seterusnya ialah, latar tempat. Latar tempat berpusat kepada dunia nyata
dan bukan dunia kayangan. Terdapat tanda-tanda atau kesan sehingga sekarang
yang dapat dikaitkan dengan tokoh-tokoh legenda di negeri-negeri tertentu.
Contohnya perigi Hang Tuah di Melaka dan Makam Mahsuri di Langkawi, tempat ini
dikatakan benar-benar wujud sehingga kini. Antara cerita tentang Mahsuri ialah,
cerita tentang tuah anak yang dikandung isterinya bertambah hebat apabila suatu
malam , Pandak Maya terdengar suara ular itik (ular cinta Mani) berdekatan
rumahnya. Pandak Maya berjaya menangkap dua ekor lalu dimasak untuk hidangan
keluarga. Mengikut kepercayaan orang tua, siapa yang memakan daging itik ini
akan beroleh rezeki yang melimpah. Jelaslah dari cerita di sekitar kehamilan
Mak Andak Alang, keluarganya sudah berlimpah rezeki. Ini suatu petanda bayi
bakal lahir membawa tuah. Apabila tiba masa, Mak Andak Alang melahirkan bayi
perempuan yang comel, dan dinamakan Mahsuri. Rezeki keluarga ini semakin
bertambah apabila Pandak Maya menjumpai batu kermian yang kemudiannya dijual
kepada tauke Cina di Padang Mat Sirat.
Mahsuri membesar seperti
gadis-gadis yang lain tetapi kecantikannya yang membezakan. Kecantikannya menjadi buah mulut orang di
Langkawi. Cerita kecantikan ini menarik minat pembesar Langkawi bergelar Dato
Seri Kama Jaya untuk melihat sendiri wajah Mahsuri. Apabila datang melawat
Kampung Mawat, ternyata Dato Seri Kama Jaya pun turut terpikat dengan
kecantikan Mahsuri dan ingin menyunting sebagai isteri kedua. Bagaimanapun
hasratnya ditentang isteri bernama Mahura. Mahura dikatakan seorang wanita yang
pintar dan banyak membantu suaminya mentadbir Langkawi. Hal ini menyebabkan
Dato Seri Kama Jaya sukar untuk mengenepikan begitu sahaja isterinya. Sebelum
menghembus nafas terakhir, Mahsuri bersumpah-Langkawi tidak akan aman dan
makmur selama tujuh keturunan. Aneh kerana yang bersalah ibu mertuanya Mahura
dan bapa mertuanya Dato Seri Kama Jaya sahaja dan bukan seluruh Langkawi. Aneh
lagi kerana selepas itu sememangnya Langkawi diserang askar Siam. Mahura dan
Dato Seri Kama Jaya terbunuh. Ramai orang Langkawi ditawan dan dijadikan hamba.
Bagaimanapun orang Langkawi terus berjuang menentang penjajahan di bawah
pimpinan seorang lagi anak Dato Seri Kama Jaya iaitu Wan Mohd Ali.
Lagenda Mahsuri terus dikenang dalam
pengertian pengajarannya. Kini Makam Mahsuri telah dibina begitu rupa sebagai
kompleks sejarah dan budaya. Langkawi kembali makmur sebagai bandaraya
pelancongan. Sehingga kini tempat ini menjadi tempat pelancongan.
Fungsi Mitos
Menurut Hooykas (1965), mitos
berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul raja-raja. Asal usul raja-raja
kerajaan Melayu tua ini kebiasaanya dihubungkan dengan objek-objek seperti
buluh, buih dan mayang pinang. Tujuan utama gambaran tentang asal usul raja ini
digembar gemburkan adalah untuk meningkatkan taraf dan kedudukan raja. Hal ini
kerana, dalam kisah-kisah yang dipaparkan, raja-raja ini mempunyai keupayaan
untuk berhubung secara langsung dengan tokoh-tokoh jin, lembu dan Batala, tokoh
mitos Puteri Mahtabu’l Bahri dan Raja Aftabu’l Ardh serta pelbagai lagi tokoh
dari dalam laut dan kayangan, (Yusoff Iskandar, 1986).
Contohnya kisah berkenaan dengan Raja Suran,
yang merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain, yang dikatakan telah masuk ke
dalam laut. Dalam pengembaraan tersebut, baginda telah terjumpa sebuah negeri
yang didiami oleh kaum Bersam. Kaum di negeri Bersam ini terdiri daripada orang
kafir dan Islam. Raja Suran kemudiannya dikhabarkan berkkahwin dengan puteri
kerajaan tersebut iaitu, Puteri Mahtabu’l Bahri dan dikurniakan tiga orang
putera.
Raja Suran kemudiannya pergi menemui raja jin
iaitu Asmaghayah Peri untuk meminta supaya dibuatkan tiga buah mahkota untuk
puteranya. Mahkota itu menjadi lambang kebesaran dan keturunan Iskandar
Zulkarnain. Setelah itu, Raja Suran pun keluar dari laut dan menuju ke udara
dengan menunggang seekor kuda terbang yang bernama Faras’ul Bahri.
Berdasarkan kisah yang dipaprkan ini, kita
dapat melihat dengan jelas bahawa pengarang cuba untuk mengagung-agungkan
kedudukan raja dengan menyelitkan pelbagai jenis kebolehan dan keistimewaan
baginda. Dalam cerita ini kebolehan dan keistimewaan tersebut ditunjukkan
menerusi keupayaan baginda untuk hidup di dalam laut dan keluar dari laut
dengan menungggang kuda terbang.
Seterusnya, mitos berfungsi untuk menceritakan
tentang asal usul sesuatu tempat. Mitos berkenaan dengan asal usul sesuatu
tempat ini kebiasaannya dikaitkan dengan unsur-unsur binatang dan anasir-anasir
alam seperti pokok kayu, buah-buahan,mayang pinang dan lain-lain. Binatang yang
dijadikan unsur mitos itu pula terdiri daripada binatang yang luar biasa
sifatnya, tangkas, besar, cerdik dan cantik seperti singa, pelanduk, anjing dan
semut besar, (Yusoff Iskandar, 1986).
Contoh ini dapat dilihat dalam kisah bagaimana
Singapura mendapat nama. Menurut Sejarah Melayu, nama Singapura ini diambil
daripada nama binatang, iaitu singa. Cerita ini dikaitkan dengan kisah putera
ketiga Sang Sapurba Taram Seri Tri Buana yang terserempak dengan binatang ini
sewaktu baginda pergi bermain-main di perairan Bentan. Ketika itu, Sang Nila
Utama bertanya kepada semua orang yang berada di sekelilingnya berkenaan nama
binatang yang dilihat. Namun tiada seorang pun yang tahu. Akhirnya, Demang
Lebar Daun menjawab pertanyaan tersebut sambil menambah, tempat ini baik untuk
dibuat negeri kerana mempunyai binatang yang gagah. Lalu terbentuklah kerajaan
Singapura yang mendapat nama dari singa, manakala pura pula, merujuk kepada
bandar dalam bahasa Sanskrit.
Mitos juga turut dikaitkan dengan sejarah
kemasukan agama Islam ke Melaka dan Pasai, (Yusoff Iskandar, 1986). Tujuan
utama mitos tentang pengislaman ini dibuat adalah untuk membezakan cara rakyat
dan raja memeluk Islam. Raja mempunyai cara yang lebih istimewa dalam memeluk
agama Islam berbanding rakyat jelata. Pengislaman raja ini dikatakan berlaku
secara langsung dari Mekah dalam mimpi. Dalam mimpi tersebut, mereka bertemu
dengan tokoh-tokoh Islam dan beberapa orang wali yang mempunyai hubungan dengan
penyebaran Islam di Melaka dan Pasai. Keisitimewaan ini pula muncul berikutan
sifat sosial dan politik raja itu yang sememangnya mempunyai taraf yang tinggi
dalam masyarakat. Menerusi mitos yang ditampilkan ini, kita dapat mengetahui
cara agama Islam berkembang di Melaka, iaitu melalui raja. Seterusnya,
pengislaman raja ini diikuti oleh pembesar dan rakyat jelata.
Mitos tentang kemasukan Islam ini dapat
dilihat dalam kisah pengislaman Raja Kecil Besar. Dalam Sejarah Melayu, Raja
Kecil Besar dikatakan bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Dalam mimpi
tersebut, baginda telah diajar untuk mengucap dua kalimah syahadah oleh
Rasulullah S.A.W, seterusnya baginda juga diberitakan mengenai namanya yang
telah ditukar kepada Sultan Muhammad. Sebaik sahaja baginda tersedar daripada
mimpi, badan baginda dikatakan berbau wangi dan sudah siap dikhatankan. Mulut
baginda pula, lancar sahaja mengucapkan lafaz dua kalimah syahadah.
Selain itu, mitos juga turut dikaitkan dengan
popular idea berhubung dengan sesuatu peristiwa aneh dan ajaib yang berlaku,
(Yusoff Iskandar, 1986). Peristiwa ini dipercayai hanya dialami oleh raja
ataupun dalam kalangan mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan istana.
Antara contoh popular idea ini ialah berkaitan dengan konsep daulat dan
derhaka. Seorang raja dipercayai mempunyai satu bentuk kepercayaan mistik,
iaitu daulat. Menerusi kepercayaan ini, rakyat dilarang daripada melanggar hak
daulat yang dimiliki oleh raja tersebut. Sekiranya larangan ini diingkari,
dalam erti kata yang lain derhaka kepada raja, orang tersebut akan menerima
balasan yang buruk.
Antara contoh kisah yang berkenaan dengan
konsep daulat dan derhaka ini ialah kisah berkenaan dengan Sang Rajuna Tapa
yang bertukar menjadi batu. Sang Rajuna Tapa merupakan bendahara kepada Raja
Iskandar Syah, iaitu pemerintah Singapura. Sang Rajuna Tapa ditimpa daulat Raja
Iskandar Syah kerana belot kepada baginda dan bersubahat dengan Majapahit,
musuh Singapura. Akibat daripada tindakannya itu, Singapura telah kalah kerana
diserang Majapahit. Raja Iskandar Syah kemudiannya lari ke Melaka, manakala
Sang Rajuna Tapa dan isterinya bertukar menjadi batu sebaik sahaja Raja
Iskandar Syah melarikan diri ke Melaka. Batu itu dipercayai masih lagi wujud di
Singapura.
Disamping itu, mitos juga digunakan sebagai
dakyah untuk mengecam penyelewengan yang selalunya dilakukan oleh raja, (Yusoff
Iskandar, 1986). Penggunaan mitos digunakan kerana kritikan secara
terang-terangan atau langsung kepada raja, boleh menyebabkan seseorang itu
dilabel sebagai menderhaka dan boleh ditimpa daulat raja. Jadi, kritikan ini
hanya dapat disampaikan dalam bentuk penulisan. Dalam Sejarah Melayu, kritikan
ini disampaikan dalam bentuk mitos yang pelbagai.
Contoh mitos yang berfungsi sebagai kritikan
ini dapat dilihat dalam kisah peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan
Mahmud Syah. Puteri Gunung Ledang telah meletakkan syarat-syarat yang sukar
untuk dijadikan hantaran bagi meminang dirinya. Kesemua syarat-syarat tersebut
sanggup dipatuhi oleh baginda, walaupun berat. Namun, apabila tiba kepada
syarat yang melibatkan nyawa anakanda baginda, baginda tidak sanggup untuk
melakukannya. Hal ini jelas membuktikan bahawa baginda seorang opportunist,
(Yusoff Iskandar, 1986). Baginda sanggup membiarkan rakyat terkorban dan
menderita asalkan kemahuan baginda tercapai, namun apabila kemahuan tersebut
melibatkan kepentingan diri dan keluarganya, baru lah baginda melupakan
kemahuan baginda yang tinggi itu.
Fungsi Legenda
Menurut Yusoff Iskandar dalam
Zahrah Ibrahim (1986), legenda merupakan kisah-kisah mengenai keperibadian dan
keunggulan dalam peribadi yang dimiliki oleh tokoh-tokoh manusia tertentu,
tokoh-tokoh yang berkemungkinan besar memang hidup dalam sejarah
umpamanya. Seterusnya, tokoh-tokoh ini
pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang ada hubungannya
dengan kekuatan politik dan agama.
Di samping itu, keunggulan
tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan watak-watak istimewa dan
supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan bijak, mempunyai kebolehan
dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat terkenal dalam sejarah tempatan
sesuatu masyarakat. Justeru, legenda
menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh masyarakat setempat, lalu
menjadi milik seluruh masyarakat tersebut.
Berdasarkan hal tersebut, dapatlah diketahui bahawa legenda ini
mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Masyarakat Melayu amat sinonim
dengan konsep ‘tulah raja’. Barangsiapa
yang menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau
terkena ‘tulah raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut
Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep
‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.
Sesuai dengan hal ini, Hang Tuah
dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi model atau simbol kepada
ketiga-tiga konsep tersebut. Hal ini
dapat dilihat apabila ia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang
Jebat yang pada pandangannya telah menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu
Sultan Mansur Syah sebagai tanda taat dan setianya yang tidak berbelah bahagi
kepada rajanya. Selain itu, Hang Tuah
juga sanggup mati untuk memenuhi kehendak sultan Melaka pada ketika itu
(Hasbullah Ibrahim dan Noor Aini Shaari, 1993).
Beliau diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan
sultannya yang ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.
Seterusnya, legenda juga berfungsi
untuk memuji serta menunjukkan kekuatan fizikal dan mental orang-orang
Melayu. Hal ini dapat digambarkan
melalui kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya. Baginda bertindak menjalin hubungan
diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai langkah berjaga-jaga. Meskipun Siam pada ketika itu telah menyerang
Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu bukanlah bermakna mereka tidak
akan menyerang Melaka lagi. Maka, Sultan
Mansur Syah telah membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam. Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah
untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka.
Berikut merupakan petikan kata-kata baginda:
“Apa bicara tuan hamba sekalian,
baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini;
kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun tiada…”
(Sulalatus Salatin, hlm. 107)
Hal tersebut jelas menunjukkan
kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara tidak langsung telah mengangkat
kehebatan orang Melayu. Tujuan tokoh ini
ditampilkan adalah untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang
Melayu, sebagaimana Sejarah Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun orang Melayu ini terlalu
cerdik daripada segala orang negeri lain; pada sebarang permainan pun tewas
juga orang lain oleh orang Melaka”.
(Sulalatus
Salatin, hlm. 22)
Selain itu, legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan
orang Melayu terhadap agama Islam. Hal
ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah yang merupakan seorang
pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah setelah merantau dari satu
tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah Melayu (Aripin Said, 1996:
57).
Kisah ini menunjukkan betapa
pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi kesan yang besar kepada
orang di sekelilingnya. Hal ini demikian
kerana, ketika Tok Senik datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum
mempunyai nama, beliau terus mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan
dengan kehidupan seorang Islam yang sentiasa berserah kepada Allah dalam
apa-apa jua perkara. Kisah ini juga
telah dibawa turun-temurun oleh rakyat tempatan dan dipercayai ramai. Pada masa yang sama, perkara ini juga
sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu tokoh dan
peristiwa bercorak sejarah.
Selanjutnya, legenda juga direka
adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda.
Sebagai contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah diceritakan dan dilambangkan sebagai
seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai buktinya, dia dapat mengalahkan
orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya dilantik menjadi laksamana (Yusoff
Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162).
Sehubungan dengan itu, perihebatnya tokoh ini di mata masyarakat telah digambarkan
dalam Sejarah Melayu:
“Adapun akan Laksamana Hang Tuah
barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi orang daripada hebat melihat sikap
lakunya. Jika ia peseban, peseban
gempar; jika ia di panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa
anak-anak dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah
yang gila akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam
pangkuan lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan
Jawa…”
Semua ini tidak lain dan tidak
bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu sendiri sekaligus mengangkat
watak tersebut.
Fungsi legenda yang seterusnya adalah untuk
memberikan hak legalisasi terhadap raja-raja yang berkenaan (Yusoff Iskandar
dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163).
Berhubung dengan hal ini, perihal menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah
dengan tokoh-tokoh legenda zaman dahulu sebenarnya bukanlah dibuat secara
kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk
kepentingan politik.
Keseluruhannya, dapat dikatakan
bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan
dengan unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja sendiri. Hal ini demikian kerana, mereka berpendapat
adalah menjadi haknya merajai sesebuah kerajaan kerana keturunannya sendiri
berasal daripada raja-raja, baik raja tersebut muncul dalam bentuk mitos
mahupun legenda. Menurut Yusoff Iskandar
dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini berpendapat mereka bukan
daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum akal dan bersifat biologis.
Di samping itu, legenda turut berfungsi untuk
memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Hal ini sangat penting bagi memastikan
kelestarian cerita-cerita terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi
terkemudian baik sebagai hiburan, pengetahuan mahupun peringatan. Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah
yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat. Kisah ini secara tidak langsung dapat
membuatkan orang ramai memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun
dari generasi ke generasi.
Akhir sekali, legenda juga berfungsi
menceritakan salasilah raja-raja. Hal
ini dapat dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah
Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk
Islam. Pada awal hikayat ini ada
disebutkan tentang salasilah Merah Silau dari awal yang bermula daripada kisah
Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak
(Puteri Betung) daripada buluh betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama
dengan seekor gajah (Merah Gajah).
Setelah kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan
dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell
Jones, 1997).
Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja
diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan seseorang
tokoh, raja, pahlawan, ulama dan sebagainya.
Pelbagai sanjungan diberikan kepada individu-individu tersebut. Di samping itu, sanjungan tersebut pula lahir
sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan taraf, keturunan
dan kedudukan raja yang disanjung.
Bahagian I
Tokoh legenda: Iskandar Zulkarnain
“…Setelah ia mendengar Raja
Iskandar datang, maka Raja Kida Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri
menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja yang takluk kepadanya. Lalu
berperanglah, terlalu ramai seperti yang dalam Hikayat Iskandar itu. Maka
alahlah Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar, ditangkap baginda dengan
hidupnya Raja Kida Hindi itu; maka disuruh oleh Raja Iskandar membawa iman,
maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam, dalam agama Nabi
Ibrahim...”
“…bahawa anakku yang tiada taranya
seorang pun anak raja-raja pada zaman ini, itulah hendak aku persembahkan
kepada Raja Iskandar;…”
( Sulalatus Salatin: hlmn 4 )
Tokoh legenda: Hang Tuah
“ …Tuanku, yang kegemaran paduka
baginda itu, jikalau ada budak laki-laki yang baik rupanya dan sikap serta
dengan beraninya, itulah kegemaran paduka baginda…”
“…Maka didengarinya, ada anak Raja Bajung yang
terlalu baik rupanya dan sikapnya, bapanya sudah mati. Maka segala juak-juak
itu pun pergilah ke Bajung…”
( Sulalatus Salatin: hlmn 103 )
“…Tiada tuanku, raja Mengkasar bertanya kepada
patik akan kegemaran duli tuanku, maka patik katakan gemar akan budak yang baik
rupa…Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng
Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah, itulah asal Hang Tuah;…”
( Sulalatus Salatin: hlmn 105 )
Bahagian II
Mitos: Singapura dilanggar todak
“…Maka disuruh baginda bunuh; Tuan
Jana Katib pun dibawa orang akan dibunuh, hampir ujung negeri tempat orang
membuat bikang; disanalah ia ditikam orang. Maka titik darahnya setitik,
badannya pun ghaiblah…”
“…maka oleh perempuan yang membuat bikang itu,
darah Tuan Jana Katib yang titik itu ditutupnya dengan tudung bikangnya. Dengan
berkat darah wali Allah, perempuan itu pun menjadi kayalah harga bikangnya;…”
( Sulalatus Salatin:
hlmn 67 )
“…Ada diceritakan orang, badan Tuan Jana Katib
itu terhantar di Lengkawi, ditanamkan orang di sana…”
( Sulalatus Salatin: hlmn 68 )
Mitos: Peminangan Puteri Gunung
Ledang
“…Maka Tun Mamad pun naiklah dengan
dua orang yang pantas berjalan sertanya, naik ke Gunung Ledang itu. Setelah
datanglah had buluh perindu, maka Tun Mamad dengan dua orang yang naik itu,
seperti akan terbanglah rasanya, daripada sangat amat keras angin bertiup; maka
awan pun seperti dapat dicapai lakunya, dan bunyi buluh perindu itu terlalu
merdu bunyinya, burung terbang dengan suatu taman, terlalu indah perbuatannya…”
(
Sulalatus Salatin: hlmn 213 )
“… maka dilihatnya serba bunga yang ada di
dalamnya pelbagai jenis, dan buah-buahan yang ada di dalam dunia ini adalah di
taman itu, sekaliannya lengkap dengan jambangannya, pelbagai rupa jambangannya.
Setelah segala mergastua dan segala kayu-kayuan di dalam hutan itu melihat Tun
Mamad datang, maka segala burung itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya; ada yang
seperti orang bersyair, ada yang seperti orang berbait, ada yang seperti orang
berseloka, ada yang seperti orang bergurindam; maka limau manggar pun bersorak,
anggerik pun mengilai, delima pun tersenyum; maka bunga air mawar pun berpantun
serta berseloka…”
(
Sulalatus Salatin: hlmn 214 )
Blog yang sangat ringkas tapi padat dengan bahan rujukan yang sangat berguna buat pelajar khususnya.
ReplyDeleteHalaman blog yang ini membantu dlm memberikan penjelasan yang jelas disebalik kekeliruan berkenaan dgn mitos. Padat dgn input. Sgt berguna utk dijadikan sbg bahan rujukan. Pembacaannya santai dan ringan.
ReplyDeleteterima kasih tuan
ReplyDelete