Wednesday, 30 May 2018

Tokoh Tun Seri Lanang

TUN SERI LANANG





Latar Belakang

Tun Sri Lanang adalah nama timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Pada ketika itu, ramai bangsawan dan rakyat Johor yang mengikut beliau ke Aceh dan dikatakan seramai ribuan orang yang mengikut beliau ke sana. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya menjadikan negeri Samalanga sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di timur Aceh dan sehingga kini pun kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan bagi sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu agama.

Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri dalam susunan Suzana Othman, 2008telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan lengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.

Mengarang Sejarah Melayu

Tun Sri Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin bermula pada tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu di samping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau disifatkan sebagai seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek penggunaan gaya bahasa dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya terunggul beliau ini berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan karya tersebut seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban Tamadun Islam Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.
Karya ini juga dianggap sebagai karya yang begitu indah dan menarik dari segi gaya bahasa dan persuratannya. Kandungannya yang meliputi unsur kelucuan, kebijaksanaan, sindiran, perlambangan, peribahasa, bidalan, pantun seloka, dan gurindam yang dikarang dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Arab, Jawa dan lain-lain dengan begitu teliti dan kemas. Namun, ia juga tidak terlepas daripada ‘Polemik Sejarah’ kerana naskhah tersebut didakwa bukan naskhah asal karangan Tun Sri Lanang tetapi kandungannya adalah daripada Hikayat Melayu yang diberikan oleh Tun Bambang Sri Narawangsa, anak Sri Askar Raja, Patani. Hikayat itu dikatakan telah dikarang dan disusun semula oleh Tun Sri Lanang atas titah Raja Abdullah, iaitu adinda Sultan Alauddin Riayat Shah III yang akhirnya menjadi Sulalatus Salatin. Sejarah penting berkaitan arahan dan galakan oleh Raja Abdullah kepada Tun Sri Lanang untuk menulis dan mengarang tentang Sejarah Melayu ada tercatat dalam kitab tersebut sebagai mukadimahnya. Dengan titah Raja Abdullah tersebut, dapat disimpulkan bahawa penulisan kitab Sulalatus Salatin telah dimulakan pada 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah bersamaan Mei 1612 ketika itu Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja.
Karya Sulalatus Salatin ini juga cuba dinafikan oleh sesetengah pihak tentang penulis sebenarnya termasuk seorang penulis barat iaitu R. O. Winstedt. Namun, pendapat beliau di bantah oleh ramai sarjana tempatan dan luar Negara. Menurut Teuku Iskandar dalam bukunya Kesusasteraan Melayu Klasik Sepanjang Abad berkata bahawa Tun Sri Lanang bukan penulis asal Sulalatus Salatin. Walaupun begitu, menurut beliau berdasarkan penyelidikan-penyelidikan yang dibuat menunjukkan bahawa penyalin naskhah Melayu itu bukanlah penyalin dalam erti kata yang sebenarnya seperti mana yang berlaku di Bali. Penyalin juga boleh dianggap pengarang kerana banyak memperbaiki kesalahan dan menambah sebarang kekurangan dalam karya, mengurangkan apa yang dirasakan lebih, serta mengubah struktur dan gaya bahasa karya asal bersesuaian dengan keadaan pada zaman itu. Jika dilihat semula pada mukadimah yang ditulis  oleh Tun Sri Lanang dalam kitab Sulalatus Salatin, Teuku Iskandar berpendapat bahawa Tun Sri Lanang bukan sekadar penyalin bahkan merupakan penulis asal karya tersebut.

Syeikh Nuruddin al-Raniri juga turut menjadikan Sejarah Melayu sebagai rujukan utama dalam penulisan karyanya iaitu Bustanatus Salatin (Taman Raja-raja) yang ditulis pada tahun 1637-1641. Beliau merupakan seorang ulama, penulis terkenal di Nusantara dan juga sahabat akrab Tun Sri Lanang, turut memetik banyak perkara daripada Sejarah Melayu, Bab II fasal 12 yang berbunyi seperti berikut:

“Kata Bendahara Paduka Raja Tun Sri Lanang yang mengarang kitab misrat Sulalatus Salatin, ia mendengar daripada bapanya, ia mendengar daripada nenek dan datuknya, tatkala ada hijrat al Nabi SAW seribu dua puluh esa, pada bulan Rabiul Awal pada hari ahad, a mengarang hikayat pada menyatakan segala raja-raja kerajaan di negeri Melaka, johor, Pahang dan meyatakan bangsa dan salasilah mereka itu daripada Sultan Iskandar Zulkarnain…”

Pendapat itu juga disokong oleh penulis buku Sejarah Johor, Buyong Adil yang menyatakan:

“Tun Sri Lanang selalu berguru daripada ulama terkenal di Aceh seperti Nuruddin al-Raniri, Tun Aceh, Tun Burhat, Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani. Dengan itu, Syeikh Nuruddin al-Raniri tentu amat mengenali Tun Sri Lanang”.

Abdul Samad Ahmad juga dalam Sulalatus Salatin versi beliau, turut membangkang pendapat R. O. Winstedt dengan hujah-hujah yang kukuh. Beliau berasa hairan dengan Winstedt yang beria-ia menafikan Tun Sri Lanang sebagai penulis dan penyusun Sulalatus Salatin sedangkan Winstedt sendiri ada menyatakan dalam mukadimah edisinya yang berbunyi:

“…Demikian bunyinya titah Yang Maha Mulia itu, bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara, peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya…..Bendahara yang disebutkan itu tentunya bukan Tun Bambang….”

Beliau juga menambah, Tun Sri Lanang menulis karya tersebut untuk menggembirakan rajanya , setelah memohon petunjuk daripada Allah SWT dan Syafaat daripada Nabi Muhammad SAW. Maka bermulalah penulisan Sulalatus Salatin atau “Pertuturan Segala Raja-raja” berdasarkan apa yang diceritakan oleh ayahnda datuknya. Oleh itu, sudah tentu karya tersebut dikarang dengan penuh teliti dan berhati-hati oleh Tun Sri Lanang dan padanya karya itu cukup sempurna dari aspek sasteranya.

Teuku Iskandar dan A. Samad Ahmad juga berpendapat bahawa bukan perkara luar biasa jika seorang Bendahara dapat mengarang hikayat, jika dilihat semula nendanya Tun Isap Misai pernah menulis Hikayat Anak Panah Sedasa. Malah ketokohan dalam bidang penulisan ini juga diwarisi oleh zuriat Tun Sri Lanang contohnya daripada pujangga Riau seperti Raja Ali Haji. Tun Sri Lanang mula menumpukan perhatian dalam pengkajian hasil-hasil kesusasteraan Aceh selepas perang di Batu Sawar pada tahun 1613 apabila beliau ditawan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III dan dibawa ke Aceh. Oleh sebab itu, beliau mempunyai masa yang panjang untuk mengkaji dan menelaah hasil-hasil karya tersebut. 

Pada ketika itu juga terdapat beberapa penulis masyhur Aceh seperti Syeikh Shamsuddin Pasai, Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari dan Nuruddin al-Raniri. Persamaan zaman antara Tun Sri Lanang dengan pengarang-pengarang hebat ini dapat dikatakan kemungkinan besar mereka sempat bertukar maklumat dan pendapat antara satu sama lain yang mungkin sedikit sebanyak turut mempengaruhi penulisan beliau. Melihat kepada bukti-bukti tersebut, dapat ditegaskan bahawa Tun Sri Lanang adalah pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin dan karya ini seharusnya diiktiraf sebagai karya asal tulisan Tun Sri Lanang dan beliau bukan sekadar penyalin semata-mata. Sungguhpun teks Hikayat Melayu diambil sebahagian daripada kandungannya, namun rujukan bahan, sumber-sumber primer, serta cerita-cerita lisan yang didengar daripada datuk neneknya dan daripada pengalamannya sendiri yang disusun dan digarap mengikut gaya bahasa yang tersendiri dalam pelbagai aspek sastera cukup untuk menjadikan beliau digelar pengarang Sulalatus Salatin yang asli.  

Tun Sri Lanang seperti yang dikenali adalah seorang sasterawan Melayu yang terkenal pada zaman kesultanan Melayu bersama karya agungnya iaitu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengarang dan meyusun kembali Hikayat Melayu di atas titah Raja Abdullah pada tahun 1612 dan berjaya menyiapkannya pada tahun 1612. Kepengarangan beliau tidak dapat disangkal lagi dengan wujudnya pelbagai fakta-fakta dan bukti-bukti yang menyokong keaslian dan ketulenan beliau sebagai penulis asal kitab Sulalatus Salatin ini. Kebijaksanaan dan kepintaran beliau dalam ilmu mengarang jelas terpancar dalam karyanya apabila beliau berjaya menyampaikan mesej dan pengajaran melalui kata-kata yang tersusun indah dalam bait-baitnya serta imaginasi lakaran peristiwa yang dilukis indah dalam kitab tersebut. Maka beliau tidak seharusnya dianggap hanya sebagai penyalin Hikayat Melayu bahkan sebagai orang yang mengarang, menulis, memperbaiki dan mempertingkatkan mutu karya awal sehingga terhasilnya karya agung dalam catatan sejarah Melayu yang dikenali umum dengan nama Sulalatus Salatin. Dengan itu terserlahlah ilmu kepengarangan dan persuratan Tun Sri Lanang dalam memartabatkan sejarah kegemilangan masyarakat Melayu seperti yang tercatat dalam karya agungnya itu.


No comments:

Post a Comment

ADAT ISTIADAT

Adat mengadap raja di balairung, Para pembesar akan disusun mengikut pangkat  kebesaran masing-masing. Bendahara, Penghulu Benda...