Menurut
Muhammad Yusoff Hashim (1992: 69), Raja Kecil barangkali memikirkan bagaimana
hendak merangka suatu muslihat, bagi membuktikan yang beliau berhak menuntut
takhta kerajaannya setelah Sultan Mahmud II mangkat dibunuh dan tanpa meninggalkan
sebarang zuriat lelaki.
Dia berusaha meyakinkan orang-orang Melayu Johor,
dengan cara menyebarkan kepercayaan temurun Melayu, bahawa, dia sebenarnya adalah
putera tunggal Sultan Mahmud II. Dia juga harus menanamkan keyakinan dalam kalangan
Orang Laut di Johor bahawa dia adalah waris yang sah dan berhak menuntut takhta
kerajaan Johor yang telah kosong selepas tahun 1699 itu, tetapi takhta tersebut
telah diambil oleh Bendahara Johor, pada tahun berikutnya, hinggalah ke tahun
1718.
Alam perbincangan makalah ini, persoalan yang sebenar ialah barangkali
bukan untuk merangka muslihat tetapi perjuangan Raja Kecil untuk menuntut
kembali takhta kerajaan Johor adalah kerana maruah. Raja Kecil sebagai
keturunan waris yang sah daripada Sultan Mahmud II wajar menegakkan haknya
semula.
Sebagai waris tunggal Sultan Mahmud II, dia perlu mengambil semula apa
yang telah dirampas daripada ayahandanya. Hal ini boleh dilihat dalam petikan,
“...paduka anakanda hendak menuntut kematian Marhum Mangkat Dijulang.” (hlm.
427). Raja Kecil dikatakan perlu mendapatkan sokongan pihak Orang Laut, dalam memecahkan
ikatan pihak Melayu Johor dengan Bugis.
Di samping itu, Orang Laut yang memang
terbilang kehandalannya sejak zaman Kesultanan Melaka menjadi “tulang belakang”
kekuatan tentera laut Johor dan ini akan menambah kekuatan militer Raja Kecil yang
sedia dianggotai oleh orang-orang Siak dan Minangkabau serta beberapa suku Melayu
dari pantai tenggara Sumatera (Muhammad Yusoff Hashim. 1992: 69).
Menurutnya
lagi, hal inilah yang menyebabkan pengarang atau Raja Kecil mencipta
mitos-mitos dan menyebarkan dakyah dalam kalangan para pengikutnya tentang
asal-usulnya itu. Menurut catatan dalam Tuhfat Al-Nafis, sebelum menyerang Johor,
Raja Kecil menghantar pengikutnya menyebarkan dakyah ini.
No comments:
Post a Comment