Wednesday, 18 April 2018

PENGENALAN




Sastera sejarah terdiri daripada bentuk cerita, prosa dan puisi. Di antara beberapa contoh teks sastera sejarah ialah Sejarah Melayu (1996), Tuhfat Al Nafis (1982), Hikayat Siak (1992), Hikayat Merong Mahawangsa (1991), Hikayat Raja Pasai (1987), dan Hikayat Melayu (1998). 

Hikayat Melayu menyusurgalurkan keturunan raja-raja Melayu sehingga berkesinambungan kepada keturunan raja Siak dan teks Hikayat Melayu juga sarat dengan unsur sastera yang bercampur gaul dengan unsur sejarah Siak. Sebagai sebuah teks sastera sejarah, Hikayat Melayu juga mempunyai tujuan yang tertentu mengapa ia ditulis. 

Pada bahagian mukadimahnya tidak ada langsung petikan yang menunjukkan teks itu ditulis untuk “tujuan menyukakan rajanya” ataupun “supaya diketahui oleh anak cucu yang terkemudian” melainkan hanyalah disebut oleh pengarang, seperti contoh petikan berikut, “Inilah ceritera Raja Iskandar Zulkarnain tertulis di dalam negeri Betawi kepada 24 Julai tahun 1893” (Hikayat Melayu. 1998: 1). 

Walau bagaimanapun, petikan di atas menunjukkan hasrat sebenar pengarang iaitu untuk menceritakan atau menyusurgalurkan keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Teks ini juga memaparkan dengan jelas tarikh dan tempat, bila dan di mana teks Hikayat Melayu ini ditulis. Ia bersesuaian dengan ciri-ciri teks sastera sejarah itu sendiri yang dilihat telah melepasi tahap genre sastera sebelumnya yang kebanyakannya tidak memaparkan siapa pengarang, bila dan di mana ia ditulis.

No comments:

Post a Comment

ADAT ISTIADAT

Adat mengadap raja di balairung, Para pembesar akan disusun mengikut pangkat  kebesaran masing-masing. Bendahara, Penghulu Benda...